Sunday, November 20, 2011

Dyslexia: Andai Diriku Lebih Berusaha


 


Amir Sab, let me go” kata Salman.
You stay with me” saya memeluk erat.
Murid Year 4 itu meronta mahu melepaskan diri. Kawan-kawan di dalam kelas ketawa kecil melihat gelagat kami.
Salman tidak boleh duduk diam. Dia sentiasa berjalan ke sana sini. Sesekali menjenguk ke luar tingkap. Fikirannya seperti penuh khayalan. Akibatnya, rakan-rakan yang lain sukar memberi tumpuan.
Saya tidak pasti mengapa.
Nama Salman juga disebut beberapa kali oleh pengetua yang lalu sebagai murid bermasalah.
Tetapi tanpa sebab yang jelas, saya mempunyai ‘perasaan’ yang berbeza. Mahu Salman diberi peluang. Biar pun harganya, keputusan saya ‘mengganggu’ hak murid lain untuk belajar dengan tenang.
HARI PEPERIKSAAN
“Selain matahari, apakah lagi objek yang disangka sebagai Tuhan, dalam kembara anak kecil bernama Ibrahim itu?” saya melontarkan soalan.
Sunday School pagi ini menjalankan ujian bulanan kepada murid-murid.
Murid-murid segera menulis jawapan di atas kertas.
Saya mengadakan ujian dengan soalan disampaikan secara lisan, kerana saya tidak sempat mencetak kertas soalan. Kelam kabut. Maklum sahaja, selain menjadi pengetua di Belfast Islamic School, saya juga menjadi guru, kerani, dan cleaner!
Salah seorang murid memutar-mutar pensil di tangan. Tidak menulis. Hanya merenung ke tingkap dan sesekali menoleh ke arah saya.
Salman masih enggan bekerjasama.
Salman, do you know the answer?” saya bertanya.
Beliau terkejut disapa.
Mengangguk tanda tahu.
So, write down the answer!” saya menyuruh.
Salman menggelengkan kepala.
Well, what is the answer?” saya menyoal.
Moon!” jawabnya pantas.
Then, write it down” saya terus memandu beliau.
I can’t” katanya.
Kawan-kawan sekelas ketawa. Memanggil Salman dengan gelaran stupid, idiot, loser! Masakan tidak, sudah Year 4 boleh ‘mengada-ngada’ berkata tidak tahu menulis perkataan MOON.
Why? Why can’t you write? Didn’t you write your name there, just now?” saya menunding kepada namanya di kepala kertas jawapan.
No Amir Sab. I didn’t write my name. I draw my name” kata Salman.
JAWAPAN YANG MENGEJUTKAN
Jawapannya itu amat mengejutkan saya. Perkataan pertama yang terlintas di fikiran saya ialah DYSLEXIA! Adakah Salman mengalami masalah tersebut?
Saya tidak mempunyai maklumat tentang dyslexia. Hanya pengetahuan am hasil pembacaan saya di akhbar atau internet.
Mengetahuinya sebagai ketidakupayaan membaca dan menulis disebabkan oleh fungsi abnormal di otak seseorang. Ketidakupayaan membaca dan menulis, bukan ketidakupayaan belajar dan memahami.
Son, bring me all your exercise books!” Saya meminta Salman mengeluarkan buku latihannya.
Beberapa helaiannya saya belek .
Subhanallah, di celah tulisan buruk yang sering menjadi teguran dan kemarahan saya, malah mungkin ibu bapanya, ada corak yang konsisten. Huruf b dan d sentiasa terbalik dan banyak kesilapan yang serupa diulang berulang-ulang kali. Saya amat yakin, budak comel berkaca mata tebal dan nakal bernama Salman itu dyslexic.
You come with me!” saya menarik Salman masuk ke pejabat.
Beliau akur dan bangun mengikut saya.
Guys, keep quiet. I’ll come back in a minute” murid-murid di kelas saya arahkan menyambung bacaan.
Ujian bulanan yang sedang dijalankan terhenti.
Salman, when I teach you in the class, do you understand me?” saya bertanya.
Budak itu mengangguk.
Can you read?” saya bertanya lagi.
Beliau diam.
Okay, you stay here for a while. I have something to tell your friends in the classroom” saya tinggalkan Salman seketika di pejabat.
Ada banyak benda menarik di atas meja saya untuk dia ‘kerjakan’. Saya tidak bimbang.
Di kelas, saya terangkan kepada murid-murid yang lain bahawa Salman bukan stupid, idiot atauloser. Beliau sama bijak dengan rakan-rakannya. Tetapi beliau mengalami cabaran bernama dyslexia. Akibatnya, dia berfikir lain daripada orang lain. Belajar pun lain daripada cara belajar orang lain. Dan kelainan itulah yang melahirkan tokoh-tokoh seperti Einstein, Leonardo da Vinci dan lain-lain.
Penemuan pagi itu memberikan anjakan paradigma kepada saya dan seluruh kelas. Jika selama ini Salman dilihat sebagai budak nakal yang sukar dikawal dan ‘bodoh’, mengenal pasti punca utamanya bernama dyslexia, mengubah cara kami semua melihatnya.
Daripada marah kepada rahmah.
Daripada sakit hati kepada simpati, empati.
REAKSI BAPA SALMAN
Brother, can I have a word with you. You’re Mr. Ahsan, Salman’s dad, right?” saya menyapa seorang lelaki Pakistan berbadan tegap.
Kurta yang dipakainya memperlihatkan komitmen beliau kepada jati dirinya yang asal, biar pun mungkin sudah sejak sekian lama menjadi warganegara Britain.
Yes I am. Did Salman cause you any problem?” tanya beliau.
No, no. In fact he is one of my favorite students. But do you know that Salman has difficulties in reading and writing. I believe that he should be accessed for dyslexia!” saya memberitahu.
What! Are you saying that my son is mentally retarded? There’s no one like that in our family!” Encik Ahsan sangat marah. Mukanya merah madam.
Belum sempat saya memberikan penjelasan, Encik Ahsan menarik Salman segera meninggalkan perkarangan masjid. Anak kecil itu merenung saya. Renungan terakhir. Hanya jari jemari saya bergerak perlahan mahu melambai Salman.
Anak murid saya itu diberhentikan oleh bapanya daripada persekolahan di Sunday School kami. Melayan ego seorang bapa!
Sedih.
Terkilan.
Salman hilang dan tenggelam dalam rutin harian saya. Hampir dilupakan.
Wajah Salman dalam kejadian 10 tahun yang lalu itu hampir pudar daripada ingatan saya. Bersama memori saya sebagai Pengetua di Belfast Islamic School, Northern Ireland. Kekal sebagai lipatan sejarah yang unik dalam perjalanan hidup saya.
TAARE ZAMEEN PAR
Wajah Salman tiba-tiba menerpa ke ingatan.
Fikiran saya terganggu.
Menonton filem Taare Zameen Par mengundang rasa sedih yang bersangatan.
Saya tidak pasti asalnya filem tersebut mengenai apa. Saya membeli pakej DVD filem lakonan Aamir Khan ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai bulan lalu. Saya bukan peminat filem Bollywood. Namun pakej DVD filem tersebut yang datang bersama kotak berisi lukisan, buku nota, dua keping DVD dan sebuah Audio CD, sangat menarik perhatian. Lama menyimpannya, saya akhirnya mendapat ruang untuk meluangkan masa selama 3 jam menonton filem lakonan, arahan dan terbitan Aamir Khan ini.
Ia berkisar tentang tekanan hidup yang dihadapi oleh Ishaan Nandkishore Awasthi (lakonan Darsheel Safary), seorang budak sekolah berusia 8 tahun yang sentiasa gagal menguasai pelajaran, gagal dalam peperiksaan dan sentiasa dilabel dan dimarahi oleh guru-gurunya, keluarga dan sekalian yang berada di sekitar kehidupannya. Tekanan itu menimbulkan tantrum dan sikap nakal yang menjadikan kitaran turun naik emosi beliau dan manusia di sekelilingnya semakin agresif.
Tekanan itu memuncak apabila bapa Ishaan bertindak menghantar Ishaan ke sekolah asrama. Bermula daripada sikap memberontak, Ishaan tiba ke tahap tekanan emosi paling kritikal apabila tenggelam dalam emotional numbness, hingga terputus atau memutuskan hubungan dengan kehidupan di sekitarnya.
Segalanya berubah apabila sekolah tersebut menerima perkhidmatan guru sementera yang mengajar mata pelajaran seni, Encik Ram Shankar Nikumbh (lakonan Aamir Khan).
Nikumbh menggunakan pendekatan yang berbeza atas keyakinannya yang satu, “setiap anak adalah istimewa”.
Interaksi antara Nikumbh dan Ishaan sangat mengingatkan saya kembali kepada kisah Salman.
Nikumbh berusaha untuk menyelamatkan Ishaan hingga berjaya. Pelbagai cara dilakukannya untuk mengubah persepsi ibu bapa, sekolah, masyarakat dan kita semua tentang Ishaan dan dyslexia.
Tetapi saya patah usaha di perjalanan. Akur dengan keputusan bapa Salman. Akur untuk cuai dalam kesibukan.
SUDAH 10 TAHUN
Sudah 10 tahun kejadian itu berlalu.
Salman kini mungkin sudah menjadi anak muda.
Salman tidak mungkin masih mengingati saya. Dia tidak perlu ingat kepada saya.
Hanya perlu berjaya.
Dan untuk diri saya, andai diriku lebih berusaha.
Maafkan Amir Sab, Salman.
Amir Sab bukan Aamir Khan!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Saifulislam.Com kini dihoskan di sebuah Dedicated Server. Sumbangan anda untuk membiayai kos operasinya amat dialu-alukan. Jazakumullahu khayr al-jazaa'





"Erti Hidup Pada Memberi"

No comments:

Post a Comment